Soalan :
Jiran saya mahu
buat aqiqah untuk anak lelakinya. Namun dia hanya mahu sembelih satu ekor
kambing dan seekor lagi mahu ditangguhkan dulu. Alasannya, jika disembelih
sekali 2 ekor dia takut dagingnya tidak habis dimakan oleh para jemputan.
Kambing yang seekor
lagi mahu diaqiqah dan diniatkan bersekali dengan majlis doa selamat untuk
saudaranya yang mahu menunaikan ibadah haji, kerana saudaranya itu menanggung harga
2 ekor kambing yang diaqiqahkan itu.
Apa hukumnya
Ustaz? Betul ke niat nya?
Sekian, terima
kasih.
Jawapan :
Maksud Aqiqah ialah binatang ternakan yang berkaki
empat (binatang an‘am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut
kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau
selepasnya.
Hukum melakukan aqiqah itu adalah
sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam.
Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya
Hasan dan Husain. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini
pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW , lalu Baginda bersabda yang maksudnya
:
"Allah tidak menyukai
kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda
bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin
menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor
kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing." (Hadis
riwayat Abu Daud)
Orang yang disunatkan melakukan
aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi
nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang
fakir atau papa.
Bagi ibu bapa yang tidak
berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah sebanyak 2 ekor kambing atau 2 bahagian
lembu bagi anak lelaki mereka. Boleh juga ia melakukan seekor kambing atau 1
bahagian lembu. Bila ia telah berkemampuan,
maka bolehlah dia melakukan baki yang
tinggal lagi sebanyak 1 ekor kambing atau 1 bahagian lembu. Apa-apapun
terpulang kepada orang yang hendak melakukan aqiqah anaknya. Dia sahaja yang
tahu menilai sejauhmana kemampuan dirinya.
Lebih cantik lagi, kita jangan
tangguh ibadah aqiqah anak ini, sebab menjadi tanggungjawab ibu bapa
mengaqiqahkan anaknya yang telah dilahirkan. Tidak menjadi permasalahan baginya
yang mengatakan takut akikah 2 ekor kambing tidak habis di makan oleh
tetamunya. Daging aqiqah sunat kita masak dengan masakan yang manis dan sedekah
kepada orang ramai atau jiran-jiran kita. Bukan sekadar buat kenduri jamu orang makan
sahaja.
Satu lagi masalah yang timbul
dalam perkara ini ialah nazar. Ucapannya seperti “1 ekor kambing lagi akan
dilakukan pada majlis doa selamat saudaranya untuk menunaikan haji”
telah
menjadi nazar beliau. Apabila telah menjadi nazar, maka ia telah menjadi
wajib
dan perlu dilaksanakan. Jika gagal ia akan berdosa dan perlu membayar
kifarah
seperti memberi makan 10 orang miskin, memberi pakaian 10 orang miskin,
memerdekakan seorang hamba dan berpuasa 3 hari berturut-turut.
Sumber : Ustaz Noramin
No comments:
Post a Comment